Selamat sejahtera semua....sudah lama saya tidak menjengah blog kesayangan ini. Semakin sibuk dengan kerja untuk mendidik anak-anak bangsa kita. Novel yang saya nak kenalkan hari ini bertajuk 'Gadisku Wan Adnin' karya Noor Suraya. Saya minat novel Kak Su semasa tingkatan 3 lagi, di mana saya sudah jatuh hati dengan novel Tanah Andriyana yang kaya dengan fakta sejarah dan bahasa (kedua-dua merupakan subjek kegemaran). Saya sempat membeli naskhah ini di Pesta Buku Selangor 2012. Sebelum saya membuat ulasan, kita baca dulu sinopsis novel ini:
cinta itu kurniaan Allah
jatuh dalam hati-hati hamba-Nya
Wan Adnin satu-satunya cucu perempuan Wan Suhaidah. Neneknya itu wanita aristokrat yang hidup dalam zaman yang salah. Dia mahu tentukan pasangan hidup Adnin. Dia mahu Adnin mendapat suami yang sedarjat. Satu per satu pinangan orang Wan Suhaidah tolak sehinggalah hadirnya Ahmad Akhtar...
“Tapi kalau Tok Bonda kau tu panjang umur sampai seratus tahun, macam mana? Cuba kira berapa lama kau kena ‘kelola’ dia di sini. Kira umur kau sudah berapa waktu tu?”
“Haniiii!”
“59!!!” Cepat sahaja Zie mengira. Mentang-mentanglah emaknya itu ada kedai runcit kampung.
Adnin ambil bantal dan memukul mesra Hani, kemudian Zie.
Jahat!
“Adnin! Kau ingat Akhtar nak kahwin dengan kau yang sudah nenek-nenek waktu tu! 59, Adnin, 59! Ingat tu,” sambung Hani. Sementara itu Zie pula membuat gema mengulang usikan Hani: ‘59, Adnin, 59! Ingat tu’.
Sheri dan Zila sudah ketawa. Tidak tahan.
“Yalah, kalau dah betul Akhtar tu cinta kat kau separuh mati pun, padan patutlah... takkan sampai tua kerepot pun dia masih setia nak tunggu!” tambah Zie menambah benzin.
Sampainya hati mereka kata macam tu dekat Tok Bonda. Kawan-kawannya itu tak pernah berhenti ‘membasuh otak’nya supaya ‘menderhaka’.
Jadi apa yang Adnin pilih? Ikut rasa Tok Bondanya, atau ikut kata hati! Tapi kata peribahasa lama pula, ikut rasa... binasa, ikut hati... mati!
Semasa mula membaca novel ini, kita diperkenalkan dengan Wan Adnin dan Tok Bonda (Wan Suhaidah) ala-ala aistokrat zaman Malaya kurun ke-18. Hidup Wan Adnin diaturkan oelh tok bonda dan Wan Adnin menurut segala kehendak neneknya itu. Kejutan menanti apabila Ahmad Akhtar menelefon rumah Wan Adnin dan menyatakan ingin berjumpa dengannya pada hari sabtu serta menuntut janji 5 tahun lepas. Tok bonda memang marah dengan Wan Adnin yang selama dipelihara
bagai menatang minyak yang penuh
. Persoalan demi persoalan terungkai dalam hidup Wan Adnin serta sebab tok bonda terlalu berahsia dengan salasilah keturunan Wan Adnin terungkai. Adakah Wan Adnin menurut atau melawan tok bonda yang akan memilih calon suaminya???
Saya suka membaca novel ini kerana kaya dengan budaya klasik masyarakat Melayu dan tema sejarah negeri Kedah yang begitu menyentuh sanubari saya. Kisah pembinaan Terusan Wan Muhammad Saman memang merupakan kebanggaan orang Melayu Kedah! Selain itu, penulis berjaya memasukkan beberapa isu-isu sensasi terkini seperti isu hiburan Lady Gaga dihalang daripada menganjurkan konsert di Indonesia,konsep lahir semula Buddha dan banyak lagi. Hal ini menunjukkan bahawa penulis memahami tentang budaya masyarakat majmuk di negara ini. Trma persahabatan dalam novel ini betul kuat sehingga boleh mengubah pendirian tok bonda yang tidak suka akan kawan-kawan Wan Adnin dan tok bonda mempunyai kawan-kawan di sekelilingnya meskipun MENJADI GADIS PINGITAN.
Saya suka akan sikap konservatif dan ketegasan tok bonda kerana tok bonda membentuk Wan Adnin yang sangat taat kepadanya. hal ini dapat menguangkan anasir-anasir jahat daripada mengganggu Wan Adnin. Ketelusan dan kejujuran Wan Adnin terbentuk daripada hasil didik tok bonda. Justeru, tok bonda tidak diabaikan seperti golongan emas sekarang yang sering disisihkan dan dihantar ke pusat jagaan. Warisan budaya bangsa Melayu diturunkan oleh tok bonda kepada Wan Adnin supaya tidak hancur dimamah zaman. Tok bonda sering mencari jalan untuk mengawal Wan Adnin supaya menjadi gadis melayu yang mencintai bangsa dan agamanya sendiri. Selain itu, saya suka perubahan sikap tok bonda yang ingin merubah dirinya sendiri apabila Wan Adnin hendak bertunang dengan Raja Izhar dengan berdiplomasi dengan cucunya sendiri. Perubahan tok bonda yang ketara selepas Wan Adnin putus tunang menyebabkan tok bonda tidak lagi memandang darjat dan keturunan teman hidup Wan Adnin. Tambahan pula, tok bonda tidak banyak bercerita tentang keturunannya kerana ingin melindungi Wan Adnin daripada dipandang serong oleh masyarakat. Walaupun tok bonda kerap membantah hasrat cucunya, namun kasih terhadap Wan Adnin melebihi segala-galanya sehingga merancang untuk menyatukan Wan Adnin dan Ahmad Akhtar.
Tersenyum lebar lepas menaip isi hati saya.Syabas Kak Su! Dan saya menanti Cintaku Luruh Di Oxford...